Kitaran roda hidup yang bertunjangkan qada' & qadar membuat ku sedar tentang segala yang terjadi. Namun begitu kelemahan hati memaksa ku hingga kehujung sudut dimana ingin saja ku berputus harap dengan segala apa yang kulalui. Dengan kerendahan hati kutekadkan azam & iltizam untuk yakinkan hati, keraskan jiwa, kentalkan semangat tuk tempuhi jua liku-liku hidup ini. Ruang hati yang sirna, pernah dilimpahi cahaya kini suram kembali tatkala ungkapan keramat singgah di halwa telinga.
Bagaikan halilintar menyambar bumi, bahangnya terasa di seluruh sendi. Lantas ku alihkan tumpuan, inginku lontar jauh-jauh memori pahit yang pernah singgah disanubari. Bagaikan tidak puas, ku cuba coretkan kenangan pahit di genangan air, dengan harapan ianya hilang tatkala riak-riak air bekocak. Namun begitu, sebagai insan yang menumpang hidup di bumiNya, setiap yang terjadi tersirat didalam perjanjian semasa seketul daging ditiupkan roh. Tidak terlepas dari watak yang telah dianugerahkan, ku hanya mampu untuk terus menghidup serta menjiwai setiap peranan yang diberikan.
Nukilanku tiada berseni, tiada inspirasi, cuma lontaran rasa hati. Bukan niat menyoal ketentuan, jauh sekali melawan hukum Tuhan. Jauh di sudut hati, harapan menggunung agar detik hati dapat difahami, dapat diselami dan dikongsi, agar terasa ringan bebanku ini. Ku tidak sempurna, namun tidak juga ingin dihina, apa yang kuharap hanyalah belas kasih darinya. Kusedar hanyutnya diri ini dengan godaan nafsu, mata hati menjadi buta lantaran kenikmatan dunia yang diterima.
Pernah ku tersentak dek sandiwara dunia, keharmornian yang didamba, balasan nista yang diterima. Ku akui kealpaan serta kekhilafan yang melanda. Aku hanyalah insan biasa. Tiada kudrat menghalang kehendakNya. Namun ku masih berakal, masih mampu tuk mengubah haluan agar tidak terkeluar dari landasan syariatNya. Ku harapkan agar segala ujian yang diberikan olehNya mampu ditempuhi dengan sabar dan redha tanpa keluhan. Dengan ikhlas ku panjatkan syukur dengan segala ketentuan dariNya.
No comments:
Post a Comment